PERANAN SEJARAH MELAYU DAN FUNGSINYA

By ayurahman - 2:33:00 AM


Peranan Sejarah Melayu dan fungsinya

Peranan sejarah Melayu kepada masyarakat dapat dilihat dari pelbagai segi iaitu pendidikan, sosial, kepuasan estetika, keagamaan dan moral.
1)      Budaya
Peranan sejarah Melayu yang pertama ialah budaya. Budaya bermaksud cara hidup manusia. Budaya merupakan satu proses perkembangan sahsiah akal, semangat dan usaha manusia dalam sesuatu kelompok manusia. Perkataan “budaya” yang bermaksud ” budi dengan daya “; yakni budi sebagai aspek dalaman manusia yang meliputi akal dan nilai, manakala daya sebagai aspek lahiriah manusia yang meliputi usaha dan hasilan. Maka pada kesimpulannya, budaya boleh difahamkan sebagai segala penghasilan masyarakat manusia dalam pelbagai bentuk sama ada yang dapat dilihat atau tidak.
            Dalam sejarah Melayu, dapat dilihat peranan budaya dalam penceritaan Sejarah Melayu sebelum kedatangan Islam kerana terdapat pelbagai cerita mitos dan dongeng sekalipun bercampur dengan cerita benar. Kebanyakkan cerita tentang pembukaan negeri dan tempat yang terdapat dalam Sejarah Melayu sering dikaitkan dengan kejadian-kejadian ajaib. Sebagai contohnya, penceritaan mengenai ribut taufan ketika pembukaan Singapura iaitu dapat dilihat dalam petikan berikut “maka diambil mahkhota itu, lalu diletakkan baginda ke air. Sekonyong-konyong teduhlah rebut itu dan ombak pun tenang seperti air di dalam balang.
                                                                                                            (Sulalatus Salatin, 40)
Begitu juga kisah cacing gelang-gelang ketika pembukaan Semundra dan kisah seekor pelanduk putih menerajang dua ekor anjing perburuan ketika pembukaan Melaka. Semua perkara yang disebutkan menggambarkan budaya kehidupan masyarakat dahulu yang mempercayai unsur keajaiban dan mengamalkan pantang larang tentang sesuatu perkara. Sultan sanggup mencampakkan mahkota diraja kerana mengharapkan akan reda dalam pelayaran mereka.
            Namun begitu, dalam Sulalatus Salatin ini juga mengalami kedatangan Islam dalam kisah-kisah para pembesar dan raja – raja. Hasil kedatangan Islam, penduduk Melaka dan Semundera pun telah berubah cara hidup apabila agama Islam datang ke negara mereka. Antaranya gelaran raja telah ditukar kepada sultan dan nama mereka telah bertukar kepada nama Islam. Malah, budaya hidup istana, rakyat jelata dan budaya berpakaian dan peraturan Istana turut berubah. Dalam sejarah Melayu para pembesar dan raja banyak mengubah cara hidup mereka dengan mempelajari agama Islam daripada para ulama.

2)      Perpaduan
Peranan Sejarah Melayu yang kedua ialah perpaduan. Perkataan “perpaduan” ini asalnya dari perkataan “padu” iaitu “mampat” dan “padat”. Perpaduan sebenarnya ialah penggabungan menjadi satu atau persatuan. Perpaduan dapat dilihat dari segi tuntutan untuk satu perkara yang baik. Dalam Sejarah Melayu, dapat lihat perceritaanya menerapkan unsur perpaduan kerana hasil perpaduan ini dapat menjadikan Melaka lebih makmur. Hal ini dapat dilihat melalui peristiwa sultan Muzaffar Syah yang sanggup menceraikan isterinya, Tun Kudu untuk menunjukkan pengorbanan yang tinggi. Tindakan sultan ini adalah bertujuan untuk mengelakkan perpecahan. Sultan yang sememangnya memerlukan Tun Perak sebagai bendahara bagi menggantikan Tun Ali kerana pada ketika itu kedaan negeri Melaka yang belum stabil telah mendesak beliau bertindak bijak. Hal ini berikutan dengan peristiwa rampasan kuasa sebelum itu yang menyebabkan sultan Abu Syahid dan Raja Rekan meninggal dunia. Sultan Muzafar yang naik takhta selepas rampasan kuasa itu memikirkan baginda perlu menyatukan semula penduduk Melaka dengan segera. Beliau yang telah melihat potensi Tun Perak yang berwibawa ketika memimpin angkatan Melaka berperang dengan Siam. Oleh kerana Seri Nara Diraja Tun Ali inginkan Tun Kudu sebagai syarat melepaskan jawatan bendahara maka sultan Muzaffar terpaksa berkorban dengan menceraikan isterinya. Peristiwa ini telah memberi kesan kepada kemakmuran Melaka seterusnya. Jika sultan tidak bertindak demikian, mungkin Melaka berada dalam keadaan yang tidak stabil secara berterusan.

3)      Sosial
Peranan Sejarah Melayu yang seterusnya ialah menunjukkan susun lapis masyarakat pada ketika itu. Susun lapis masyarakat adalah berkaitan dengan bentuk hiraki masyarakat. Terdapat bentuk berbeza antara  masyarakat zaman dahulu dengan zaman moden. Dalam masyarakat tradisional, raja mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat. Kemudian diikuti dengan kumpulan-kumpulan lain yang terdiri daripada pembesar, rakyat jelata dan hamba. Bagi masyarakat moden pula, susun lapis masyarakat adalah bergantung kepada kedudukan kumuniti, kampung, daerah, negeri dan negara. Manakala, raja diletakkan pada satu institusi lain yang tersendiri dan berfungsi mengikut konsep raja berpelembagaan.
            Berdasarkan Sejarah Melayu dapat dilihat corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri Melaka telah mempengaruhi pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Melayu tradisional Melaka dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan yang memerintah dan golongan yang diperintah. Biasanya golongan yang memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada golongan yang diperintah. Hasil daripada penulisan Sulalatus Salatin, masyarakat dapat mengetahui susun lapis masayarakat terdahulu. Pada golongan yang memerintah dapat dibahagikan kepada empat golongan iaitu raja atau sultan, kerabat raja, bangsawan dan pembesar dan golongan pemimpin agama. Manakala, golongan diperintah pula dapat dibahagikan kepada empat juga iaitu rakyat biasa, hamba raja dan hamba berhutang.

4)      Pendidikan dari segi nilai moral atau nilai murni
Peranan Sejarah Melayu yang seterusnya ialah pendidikan. Berdasarkan Sejarah Melayu, dapat menyemai nilai-nilai murni. Antaranya, pendidikan yang diterapkan oleh pengarang untuk mempelajari al-Quran sebagaimana Tun Mai Ulat Bulu belajar daripada Makhdum Sadar Jahan. Mempelajari al-Quran adalah salah satu petunjuk penting kepada celik huruf masyarakat zaman itu. Ia menjadi budaya golongan masyarakat yang mesti mempelajari ilmu mengaji bagi membolehkan mereka menghayati kehidupan beragama Islam secara asas. Setelah itu, baharulah masyarakat akan mempelajari ilmu agama yang lain termasuk solat.


Kepentingan menuntut ilmu agama berdasarkan kitab muktabar seperti kitab Duril Mazlum daripada Maulana Abu Bakar. Kebolehan membaca dan mempelajari kitab adalah satu tahap pendidikan tinggi yang memungkinkan seseorang itu layak menjadi guru. Seseorang yang telah berguru seperti itu dianggap telah memperolehi ilmu yang melebihi ilmu asas seperti mengaji al-Quran sebelum ini. Oleh itu memang wajar seorang sultan mempelajari tahap ilmu ini kerana dirinya adalah pemimpin tertinggi negara. Jika sultan tidak belajar tinggi, sudah tentu dirinya dipandang rendah oleh ahli masyarakat feudal dan dipertikaikan kepimpinannya. Seterusnya, kepentingan menuntut ilmu kepahlawanan sebagaimana yang dilakukan oleh pahlawan Melaka seperti Hang Tuah dan Tun Bijaya Sura. Pada zaman berkenaan, ilmu kepahlawanan adalah sesuatu yang penting kerana ia adalah salah satu cara mempertahankan diri dan negara daripada serangan musuh. Pembelajaran ilmu tersebut mampu menjadikan masyarakat Melaka hidup aman damai tanpa gangguan.
Keperluan mendapatkan penyelesaian masalah hukum hakam agama sebagaimana yang dilakukan oleh sultan bertanya tentang masalah hukum ke sebuah negara lain. Seperti kisah "Bertanya Satu Masalah Agama ke Pasai"(hlm. 247). Dalam peristiwa berkenaan, satu masalah agama telah dikemukakan kepada bijak pandai daripada negara luar. Gambaran ini menunjukkan bahawa, dalam soal pendidikan, kita harus mempunyai semangat kerjasama dan sering berbincang sesama umat dan ahli masyarakat. Jika perkara ini tidak dilakukan, akan menyebabkan diri ahli masyarakat dalam keadaan jahil dan sesat kerana tidak mahu menambahkan ilmu di dada dan bersifat bakhil ilmu.
Kepentingan mengambil pengajaran dan iktibar daripada peristiwa yang berlaku dalam kehidupan seperti kisah Sang Rajuna Tapa yang belot dan akhirnya menjadi batu,  penderhakaan Hang Jebat dan lain-lain. Pendidikan ini adalah bersifat kemasyarakatan kerana ia dapat dilihat dan dirasakan oleh ahli masyarakat yang terlibat. Mengambil pengajaran daripada pelbagai peristiwa dan musibah yang dialami masyarakat adalah satu proses pembelajaran yang paling berkesan. Ahli masyarakat akan terus mengingati pristiwa yang telah berlaku dan berazam tidak mahu mengulangi kesilapan lalu.
Kepentingan mendengar dan mengikuti nasihat daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman seperti yang terdapat dalam wasiat sultan Maliku's Salleh, wasiat Sultan Muzafar, Alaudin. Mansur dan wasiat bendahara Paduka Raja Tun Perak. Golongan tua dan berpengalaman adalah ahli masyarakat yang mampu mengajar dan memberi petunjuk yang berkesan. Ahli masyarakat yang terkemudian wajar akur dan mengambil perhatian tentang pengalaman pemimipin terdahulu. Ternyata kebanyakan nasihat dari wasiat yang telah disebut secara kebetulan telah berlaku ke atas ahli masyarakat yang berkenaan. Oleh itu wajarlah perkara yang berkaitan dengan wasiat diambil perhatian.
            Antara nilai murni lain yang dapat kita perolehi daripada Sejarah Melayu ialah melalui nilai-nilai murni yang diamalkan oleh watak dan perwatakan yang menerapkan nilai amanah dan bijak.
Terdapat beberapa peristiwa dalam Sejarah Melayu tentang amanah iaitu yang pertama amanah kepada perjanjian waad. Raja dan rakyat wajib patuh kepada amanah yang mereka junjung. Terdapat beberapa peristiwa kepatuhan dan keingkaran terhadap perjanjian waad. Kedua, amanah kepada tugas kepimpinan. Setiap raja mempunyai tugas yang patut dilaksanakan. Begitu juga kepada para pembesar seperti bendahara, laksamana, temenggung dan lain-lain. Kecurian yang sering berlaku di Melaka dalam pemerintahan Sultan Alaudin Riayat Shah telah menggambarkan adanya pegawai yang tidak menjalankan amanah. Raja pula telah menyamar bagi memastikan Melaka aman. Ini menunjukkan  bahawa sultan seorang yang amanah. Terakhir, amanah ketika menyempurnakan tugas dan misi. Dapat dilihat bagaimana Hang Nadim menyempurnakan amanahnya untuk membeli kain untuk raja. Beliau telah gagal menjalankan amanah tersebut kerana kapalnya karam. Namun Hang Nadim sanggup dipersalahkan kerana kegagalannya.
Nilai bijak pula dapat dilihat dalam Sejarah Melayu apabila Tun Perak yang bergelar Bendahara Paduka Raja merupakan pemimpin bijak yang mempunyai ciri jatidiri yang hebat. Kemampuannya merancang strategi peperangan ketika berperang dengan Siam adalah bukti yang paling nyata. Pada peperangan kali pertama, beliau telah membuat strategi berperang dengan membawa anak isteri ketika di Kelang. Strateginya telah mebuahkan hasil dan serangan Siam dapat dipatahkan. Kedua, apabila peperangan kali kedua, Tun Perak telah berjaya mengalahkan Siam dengan tipu muslihat. Beliau telah mengarahkan supaya memasang puntung api atau obor di sepanjang pantai pada pokok nyireh dan bakau di Melaka. Strategi ini dapat memberi kesan psikologi kepada musuh kerana merasakan rakyat Melaka sangat ramai dan tidak tidur malam untuk menahan serangan musuh. Terakhir apabila Tun Perak terbukti bijak berkata-kata dan mematahkan hujah. Beliau berhujah dengan Seri Amerta dengan baik bagi mempertahankan tindakannya membawa anak isteri ketika berperang (hlm 90). Beliau juga bijak berhujah ketika rakyat bertanya mengapa Tun Perak tidak menggunakan usungan kurniaan Sultan Mahmud sebagaimana yang dilakukan oleh Hang Tuah sehingga beliau digelar Pak Si Bendul. Tun Perak menjawab, jika beliau menggunakan usungan maka tidak ada bezanya antara diri beliau dengan sultan kerana di Melaka Sultan sahaja yang kerap menggunakan usungan (hlm 189)

5)      Keagamaan
Dalam Sejarah Melayu terdapat peristiwa kedatangan Islam dimana raja telah memeluk Islam setelah bermimpi bertemu Rasulullah dan berjumpa pendakwah yang datang dari negara arab. Kemudian seluruh rakyat Melaka telah menganut agama Islam dan mengamalkan kehidupan harian menurut cara hidup Islam. Diceritakan juga kegiatan keagamaan termasuklah sembahyang, puasa, menyambut hari raya dan nikah kahwin.Lalu rakyat di Melaka dididik supaya taatkan agama dan pemerintah. Perkataan raja telah ditukar kepada sultan dan nama-nama pemerintah telah menggambarkan agama yang mereka anuti. Perkara-perkara yang menjadi pokok atau asas dalam hal-hal keagamaan seperti rukun iman dan rukun Islam.

Rujukan
http://yokmanceng.blogspot.com/2013/01/

  • Share:

You Might Also Like

7 comments

  1. Perkongsian yang menarik dan sangat nudah untuk dijadikan rujukan. Apa yang dikongsi boleh di baca dan boleb dijadikan rujukan kepada pelajar terutamanya

    ReplyDelete
  2. maklumat dan isi yang baik dan jelas

    ReplyDelete