NILAI & PENGAJARAN

By ayurahman - 11:23:00 PM



Nilai murni/unsur positif dalam sulalatus salatin sejarah melayu.
1. Nilai budaya / Pandangan Hidup
Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.
Di samping itu, pengarang Sejarah Melayu juga turut mempersembahkan kepada pembaca perihal istiadat perkahwinan Diraja Johor-Pahang.
Selain itu, pengarang turut menggambarkan hubungan individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.
Sultan Melaka pada waktu itu juga sangat menghormati golongan ulama. Hal ini dapat dilihat semasa Sultan Mahmud Syah ingin berguru dengan Maulana Yusoff. Ulama tersebut tidak membenarkan Sultan Mahmud Syah datang menemuinya dengan menunggang gajah. Dengan perasaan hormat, baginda akur dengan permintaan gurunya.
Pandangan dan falsafah hidup bangsa Melayu banyak sekali diungkapkan oleh masyarakat ketika itu. Hal ini demikian kerana, masyarakat Melayu begitu kaya dengan keindahan bahasa yang diperturunkan dalam bentuk puisi. Bentuk puisi yang dikarang adalah seperti pantun, syair dan seloka serta nyanyian. Puisi-puisi yang terdapat di dalam Sejarah Melayu mempunyai unsur-unsur tersirat yang bertujuan memuji atau sebaliknya menyindir. Misalnya, kota sepenampang di Pahang yang terbakar belum dibersihkan sisa kebakarannya. Lalu, diciptakan nyanyian oleh penduduk setempat.
2.      Nilai Ilmu
Ilmu merupakan salah satu unsur kehidupan intelektual terpenting. Kadar perkembangan dan penyebaran ilmu pada pandangan umum menunjukkan darjah kemajuan kesedaran sosial dan perkembangan masyarakat. Apabila ilmu kuat dan penting dalam masyarakat Melayu dan mempengaruhi kehidupan manusia, hal ini pasti tercermin di dalam penulisan pengarang. Kajian yang dilakukan ke atas sumber sejarah Melayu, khususnya sejarah Melayu Islam menjelaskan bahawa di dalamnya terdapat banyak maklumat yang berkaitan dengan ilmu. Semua bahan yang dirakamkan di dalamnya boleh dibahagikan kepada beberapa kategori:
1.      Istilah umum
2.      Bidang ilmu
3.      Para ilmuwan, karyawan, pengarang (penyalin), guru dan orang alim yang lain
4.      Karya ilmiah dan buku, serta sistem pengajaran dan pelajaran
5.      Unsur-unsur ilmiah / tekstologi dalam teks-teks sejarah
Kategori para ilmuwan juga turut tercatat dalam karangan Sejarah Melayu. Antara orang atau pelaku yang disebut berkaitan dengan ilmu ialah khatib, haji, sayyid (syed dari tanah Mekah), syeikh, mursyid, makhdum, kadi dan maulana.
Berdasarkan kepada beberapa pecahan nilai ilmu yang telah dipaparkan dalam Sejarah Melayu, hal ini dengan jelas menunjukkan ciri penting keagungan karya agung Melayu terletak pada ketamadunan ilmu yang dipancarkan oleh karya itu. Melaluinya, pengarang telah berjaya memperlihatkan keupayaan dan keterbukaan mindanya untuk menyerap ilmu dan nilai baru, yang dipelajari daripada Islam, untuk menilai dan memperkukuh tradisi bangsanya. Mantera mula diganti dengan doa, berguru kepada orang pertapa diganti dengan berguru kepada syeikh atau makhdum, adat dan tradisi keadilan Melayu digandingkan dengan keadilan menurut hukum Allah dan pelbagai lagi. Inilah proses perkembangan ilmu yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.   

3. Nilai Kesejagatan
Tindakan-tindakan  seseorang watak dianggap sebagai kemanusiaan sejagat. Dalam Sulalatus Salatin, unsur sejagat dapat dilihat menerusi peristiwa Waad antara  Demang Lebar Daun dengan Seri Teri Buana. Perjanjian ini adalah untuk kepentingan semua pihak iaitu pihak raja dan pihak rakyat. Raja tidak boleh menganiaya rakyat manakala rakyat pula tidak boleh derhaka kepada raja. Hal ini akan membawa kepada keamanan seluruh rakyat dan negeri.
4. Nilai Keadilan
Unsur keadilan pula dapat dilihat menerusi kezaliman yang dilakukan oleh raja-raja Melayu. Terdapat banyak contoh kezaliman yang dilakukan oleh watak-watak tertentu sehingga menimbulkan kesan sampingan yang lain. Contoh pertama dapat dilihat pada kezaliman Sultan Mahmud yang bertindak membunuh beberapa orang watak walaupun kesalahan yang dilakukak itu tidak seberapa. Contohnya, Sultan Mahmud menitahkan agar Tun Isap membunuh Tun Ali Sandang. Sultan Mahmud juga bertindak zalim atas keluarga Tun Mutahir dengan membunuh keluarga itu. Kejatuhan Melaka berlaku pada zamannya. Hal ini kerana Sultan Mahmud apabila dia membunuh keluarga Tun Mutahir, kekuatan Melaka menjadi lumpuh. Walaupun rakyat tidak dapat melawan kezaliman raja, tetapi keadilan telah terjadi dengan sendirinya yang berpunca daripada sikap buasnya sendiri.
5. Nilai Kemasyarakatan.
Menerusi Sejarah Melayu, kebudayaan masyarakat Melayu turut diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca. Gambaran tentang adat istiadat istana dan masyarakat Melayu purba di Melaka seperti pantang larang di istana, adat memakai pakaian kuning, adat menyambut bulan Ramadhan dan pelbagai lagi.
Hubungan individu sesama masyarakat dalam penulisannya. Sebagai contoh, sikap hormat menghormati. Umpamanya, seorang rakyat tetap mematuhi perintah ketua atau pembesar. Contohnya apabila mengetahui yang Bendahara Tun Mutahir akan dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, pengikut-pengikut beliau cuba menentang pembunuhan ini. Walau bagaimanapun, penentangan tersebut dihalang oleh Tun Mutahir kerana tindakan tersebut dianggap menderhaka. Akhirnya, pengikut-pengikut beliau tidak jadi menentang.
6. Nilai Kemanusiaan
Kemanusiaan bermaksud hal-hal mengenai manusia atau sifat-sifat manusia. Sifat-sifat manusia itu meliputi hal-hal yang baik dan murni iaitu sifat yang dituntut sebagai suatu yang seharusnya dimiliki oleh seorang yang bernama manusia kerana kelebihan kejadian sifat manusia yang dianugerah akal dan budi disamping nafsu. Kemanusiaan juga dilihat dari sudut sifat-sifat yang berlawanan atau bertentangan atau sesuatu yang jahat dan buruk. Dalam konteks perbincangan ini, unsur kemanusiaan akan dilihat dari kedua-dua sudut di atas.
1.  Sejarah Melayu menyebut dengan jelas tentang beberapa orang raja dan pembesar Melaka yang mentadbir Melaka dengan penuh sifat-sifat adil dan bijaksana. Mereka mengu­tamakan tanggungjawab dan amanah sebagai ketua negara bagi menjamin kehidupan rakyat dalam aman dan damai.

2. Sifat dan kelakuan Berbudi Bahasa juga merupakan salah satu sifat yang amat mulia.
Bendahara Paduka Tun Perak terkenal sebagai seorang yang berbudi bahasa tinggi. Walau pun ia mengetahui Hang Tuah memburuk-burukkan peri­badinya kerana enggan menolong Sultan Zainul Abidin di Pasai bagi kali keduanya (kerana Sultan Pasai itu enggan mengirim "sembah" pada Raja Melaka) tetapi apabila di­tanya oleh Raja Melaka, Bendahara tetap memuji-muji kebaikan peribadi Hang Tuah sewaktu berada di Pasai. Hang Tuah berasa amat malu dengan kemuliaan budi Ben­dahara Paduka Raja. Selepas peristiwa itu Hang Tuah da­tang memohon maaf dan sujud di kaki Bendahara.
7. Nilai Keagamaan.

Penceritaan mengenai kemasukan Islam ke Pasai dan Melaka telah dimitoskan dengan tujuan untuk mengagungkan Islam dan menunjukkan keistimewaan raja itu sendiri. Penceritaannya memberi gambaran bahawa Islam benar-benar berkembang di Melaka, bermula dari istana Melaka dan terus berkembang di kalangan rakyat jelata. Raja Melaka pertama beragama Islam ialah Raja Kecil Besar atau Sultan Muhammad Syah. Gelaran Sultan diguna pakai setelah Raja Melaka memeluk Islam.

Nilai keagamaan ini juga dapat dilihat daripada penyebutan dan penonjolkan tokoh-tokoh dan lama-ulama Islam.

Antaranya Iskandar Zul-Karnian, yang merupakan tokoh pahlawan Islam yang terkenal gagah dan berani dalam menaikkan martabat Islam di dunia. Tokoh ini dikaitkan dengan asal usul keturunan raja Melaka yang bertujuan untuk menunjukkan keagungan raja-raja Melaka.

Tokoh-tokoh lain yang disebut seperti tokoh pahlawan Islam yang terkenal Amir Hamzah, tokoh-tokoh nabi seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Khidir. Sulalatus Salatin menceritakan pernikahan Raja Iskandar Zul-Karnain dengan Puteri Syahrul-Bariyah disempurnakan oleh Nabi Khidir. Mas kahwinnya sebanyak 300 ribu dinar emas (Cetera 1).
Tokoh-tokoh pendakwah Islam, iaitu ulama-ulama Islam dari Asia Barat (TimurTengah) datang ke Melaka bertujuan mengembangkan agama Islam dan mengajar ilmu Islam berpusat di istana Melaka. Tokoh-tokoh tersebut seperti Syed Abdul Aziz, Maulana Abu Bakar, Kadi Yusuf, dan Maulana Sadar Jahan.Tokoh-tokoh ini diberi penghormatan dan pengiktirafan tinggi di istana Melaka. Mereka sangat berpengaruh terutama dalam soal-soal berkaitan dengan hal-ehwal keagamaan.
Nilai keagamaan dalam Sulalatus Salatin juga terlihat dalam perjalanan adat-lstiadat dan perundangan yang diamalkan kerajaan Melaka. la meliputi hal-hal seperti upacara akad nikah kahwin, dan perayaan-perayaan hari kebesaran Islam seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raja Korban. Selain gambaran Islam juga dapat dilihat melalui adat berkhatan.



Nilai Pengajaran Bab Raja Suran

1. kita perlulah Mengagungkan raja yang berketurunan suci, mulia dan berdaulat.
Contoh: Raja Iskandar sebagai tokoh legenda, mitos asal-usul keturunan raja-raja Melaka dan unsur pengembaaan (unsur lipur lara dan Hindu)
2. kita seharusnya Memberi pengajaran kepada anak cucu daripada peristiwa-peristiwa yang berlaku.
Contoh: Raja Iskandar ialah putera Raja Darab. Baginda berbangsa Rom dan berasal dari Makadunia (Macedonia). Baginda mengembara untuk “melihat negeri matahari terbit”, telah menyebabkan baginda sampai ke negeri Hindi yang diperintah oleh raja Kida Hindi.
3.  kita seharusnya Mengagungkan negara kota (Melaka) yang diperintah oleh raja-raja.
Contoh: Mitos asal-usul keturunan raja-raja Melaka dan mitos latar tempat/latar tempat fantasi.
4. kita seharusnya  Mengsahih/mengikhtiraf kedudukan raja-raja dengan memberi maklumat tentang keturunannya.
Contoh: Puteri Syahrul Bariah melahirkan seorang putera yang diberi nama Raja Aristun Syah. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan Puteri Raja Turkistan dan dikurniakan seorang putera yang diberi nama Raja Aftus. Raja Aristun Syah menaiki takhta kerajaan setelah kemangkatan Raja Kida Hindi dan memerintah negeri Hindi selama 350 tahun. Keturunan baginda memerintah negeri Kida Hindi sehingga sampai kepada Raja Tersi Berderas. Raja Tersi Berderas berkahwin dengan anak raja Sulan, raja negeri Amdan Negara yang dikatakan sebagai anak cucu “Raja Nusyirwan Adil”. Hasil perkahwinan tersebut, baginda telah dikurniakan dengan tiga orang putera, iaitu Raja Hiran, Raja Suran dan Raja Fardin.
5.kita seharusnya Memberi panduan tentang etika pemerintahan dan moral seperti tugas-tugas raja dan pembesar dalam menjalankan pemerintahan dan membangunkan Negara Kota.
Contoh: Raja Suran menaiki takhta selepas kemangkatan Raja Sulan. Baginda berhasrat menyerang dan menakluk negeri China. Dalam perjalanan, Raja Suran telah menyerang dan menakluki negeri Gangga Negara yang diperintah oleh Raja Gangga Shah Johan. Kemudian Raja Suran menakluki negeri Langgiu yang diperintah oleh Raja Chulan. Hasrat Raja Suran untuk menakluki negeri China telah dibatalkan kerana kebijaksanaan raja China .

Nilai Pengajaran kisah Pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat.

 1. Kita hendaklah menentang segala bentuk kezaliman yang dilakukan oleh mana-mana pihak.
Contoh : Apabila Hang Jebat menimbulkan keadaan huru-hara di Melaka, Hang Tuah telah dipanggil semula oleh Sultan Mansur.
2. rakyat hendaklah menunjukkan kesetiaan kepada Raja.
Contoh: Hang Tuah tidak menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap penganiayaan baginda, sebaliknya dengan berbekalkan sikap taat setianya, beliau bersedia untuk membunuh Hang Jebat yang merupakan sahabat karibnya.
3. Kita hendaklah bekerjasama menentang pihak yang terpesong dari perjuangan.
Contoh: Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana hukuman itu tidak dilaksanakan oleh Seri Nara Diraja yang lebih rasional daripada baginda sultan dan berpandangan jauh pula.
4. Menusia perlulah mengutamakan keselamatan orang ramai daripada kepentingan diri.
Contoh: . Apabila Hang Jebat menimbulkan keadaan huru-hara di Melaka, Hang Tuah telah dipanggil semula oleh Sultan Mansur. Hang Tuah cuba memberhentikan perbuatannya untuk keselamatan istana.
5. Semangat persahabatan tetap teguh walaupun terpaksa bermusuhan.
Contoh: Apabila Hang Jebat menimbulkan keadaan huru-hara di Melaka, Hang Tuah telah dipanggil semula oleh Sultan Mansur. Hang Tuah tidak menggunakan kesempatan itu untuk membalas dendam terhadap penganiayaan baginda, sebaliknya dengan berbekalkan sikap taat setianya, beliau bersedia untuk membunuh Hang Jebat yang merupakan sahabat karibnya. Begitu juga, demi kesetiaannya, beliau sanggup menyelamatkan kuda baginda sultan yang telah masuk ke dalam kolam najis setelah tiada seorang hamba pun sanggup untuk melakukannya.




  • Share:

You Might Also Like

4 comments